Khutbah Jumaat
Masjid Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
24 Februari 2012
BAHASA ARAB ADALAH BAHASA AGAMA ISLAM
Oleh: Asyraf Isyraqi bin Jamil
Khutbah Pertama
الحمد لله، الحمد لله الذي جعل للغة العربية مكانة تقصر عن وصفها العبارات، وقدسية انفردت بها عن سائر اللغات، وهي محفوفة بعناية أولي الألباب، وملائمة للعلوم والآداب،
أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد، وعلى آله وأصحابه، ومن سار على نهجه، إلى يوم الموعد والمآب،
أما بعد، فيا عباد الله، اتقوا الله، أوصيكم وإياي بتقوى الله، فقد فاز المتقون.
Marilah bersama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT, mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Bahasa Arab merupakan bahasa yang amat penting khususnya bagi umat Islam. Ini kerana bahasa Arab merupakan bahasa al-Qur’an dan bahasa hadith Nabi s.a.w. Allah SWT berfirman di dalam al-Qur’an:
أعوذ بالله من الشيطان الرجيم، ((إِنَّا جَعَلْنَاهُ قُرْآنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ))
Yang bermaksud: ((Sesungguhnya Kami menjadikan al-Qur’an dalam bahasa Arab, supaya kamu dapat memahaminya)). Surah al-Zukhruf, ayat 3.
Ayat ini dan beberapa ayat yang lain di dalam al-Qur’an memberitahu kepada kita bahawa al-Qur’an itu dijadikan dan diturunkan dalam bahasa Arab.
Begitu juga apabila kita melihat kepada nas-nas hadith Nabi s.a.w, kita dapati bahawa kesemua nas hadith diungkapkan dalam bahasa Arab. Malah, periwayatan nas-nas tersebut selepas dari zaman Nabi s.a.w juga kekal terpelihara dalam bahasa Arab. Kesemua ini mengisyaratkan kepada kita bahawa bahasa Arab merupakan bahasa yang amat penting kerana menjadi bahasa perantaraan kepada sumber-sumber agama Islam.
Jika kita melihat kepada sejarah, bahasa Arab pada asalnya adalah bahasa perantaraan masyarakat Arab jahiliyyah. Maka, kalimah-kalimah Arab pada ketika itu dipengaruhi oleh makna-makna jahiliyyah yang dianuti oleh masyarakat Arab tersebut. Namun, apabila datangnya Islam, kalimah-kalimah Arab telah melalui suatu proses pemurnian, di mana al-Qur’an dan hadith Nabi s.a.w telah memurnikan kalimah-kalimah Arab agar terisi dengan makna-makna yang Islami, iaitu makna-makna yang bertepatan dengan agama Islam. Dengan yang demikian, bahasa Arab menjadi bahasa yang mencerminkan agama Islam itu sendiri. Ditambah pula dengan keistimewaannya yang memiliki sistem kata dasar yang bertujuan untuk memelihara makna-maknanya yang Islami itu agar tidak tercemar dengan makna-makna yang menyeleweng dan mengelirukan.
Mungkin kita boleh melihat kepada contoh-contoh ini untuk memahami kepentingan dan keistimewaan bahasa Arab.
Kalimah Arab ‘ismun’ diterjemahkan sebagai ‘nama’ dalam bahasa Melayu. Jika kita tidak mengetahui makna yang asal bagi kalimah ‘ismun’, kita mungkin menyangka bahawa maknanya hanya sekadar ‘nama’ yang kita fahami pada ketika ini. Kalimah ‘ismun’ sebenarnya turut memiliki makna yang lebih tinggi, iaitu merujuk kepada ‘pengenalan tentang sesuatu perkara’. Pengenalan yang dimaksudkan adalah ‘pengetahuan tentang ruang lingkup dan batasan perkara tersebut’. Oleh kerana itu, apabila Allah SWT menyebut di dalam al-Qur’an bahawa Dia mengajarkan Nabi Adam a.s dengan segala ‘ismun’ atau ‘nama’ yang sempurna [Surah al-Baqarah, ayat 31], ia bermaksud bahawa Allah SWT mengajarkan Nabi Adam a.s tentang pengenalan-pengenalan setiap perkara supaya Nabi Adam a.s dapat mengetahui ruang lingkup dan batasan perkara-perkara tersebut. Nabi Adam a.s bukan hanya diajar tentang ‘nama-nama’ seperti yang kita fahami pada ketika ini, sebaliknya baginda a.s diajar tentang pengenalan-pengenalan yang memperjelaskan kedudukan setiap perkara, supaya baginda sebagai khalifah di atas muka bumi ini memiliki ilmu tentang kedudukan yang benar bagi setiap perkara tersebut, agar kemudiannya dapat meletakkan perkara-perkara itu pada kedudukannya yang sebenar. Dari hal ini juga kita boleh fahami bahawa Allah SWT ingin mengajar manusia tentang ciri seorang pentadbir atau pemimpin yang terbaik, iaitu memiliki ilmu yang benar tentang setiap perkara, supaya dapat melakukan keadilan terhadap perkara-perkara tersebut.
Begitu juga jika kita melihat kepada kalimah Arab ‘ahlun’ yang diterjemahkan sebagai ‘ahli’ dalam bahasa Melayu. Apabila kita tidak mengetahui makna yang asal bagi kalimah ‘ahlun’, kita mungkin menyangka bahawa maknanya hanya sekadar ‘ahli’ yang kita fahami pada ketika ini. Kalimah ‘ahlun’ sebenarnya turut memiliki makna yang lebih tinggi, iaitu merujuk kepada ‘seseorang yang memiliki kewibawaan ilmu dan kemahiran’. Hal ini menjadikan kalimah ‘ahlun’ boleh juga dirujuk dengan istilah ilmuwan, cendiekawan, sarjana, pakar, dan sebagainya. Oleh kerana itu, apabila Allah SWT mengisyaratkan di dalam al-Qur’an agar manusia bertanya kepada golongan yang ‘ahlun’ atau ‘ahli’ [Surah al-Nahl, ayat 43 & Surah al-Anbiya’, ayat 7], ia bermaksud bahawa Allah SWT mengisyaratkan agar sebarang pertanyaan adalah ditujukan kepada golongan manusia yang memiliki kewibawaan ilmu dan kemahiran. Dari hal ini juga kita boleh fahami bahawa Allah SWT ingin mengajar manusia untuk mengemukakan pertanyaan kepada golongan manusia yang berautoriti, iaitu mereka yang memiliki kewibawaan ilmu dan kemahiran, agar manusia tidak bertanyakan tentang sesuatu perkara kepada sesiapa sahaja tanpa mengambil kira kualitinya sama ada sebagai seorang yang berautoriti ataupun sebaliknya.
Kedua-dua contoh yang disebutkan ini memberikan gambaran kepada kita bahawa bahasa Arab memiliki kedudukan yang tersendiri khususnya sebagai bahasa yang memperjelaskan makna-makna yang asli dan Islami bagi nas-nas al-Qur’an dan hadith Nabi s.a.w.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah SWT,
Kepentingan dan keistimewaan bahasa Arab bukanlah berasaskan kaum atau bangsa Arab, sebaliknya berasaskan kedudukannya sebagai bahasa agama Islam. Oleh kerana itu, kita sebagai umat Islam seharusnya berusaha untuk menguasai bahasa ini supaya dapat membantu kita dalam menghayati agama Islam.
Ketahuilah bahawa segala perkara yang menjadi asas dan tunjang dalam agama Islam tidak mungkin dikenali dan diakui pada tahap yang terbaik tanpa menguasai bahasa Arab. Malah, ilmu-ilmu seumpama tafsir al-Qur’an, syarah hadith, akidah, usul fiqh, dan juga ilmu-ilmu yang lain tidak mungkin difahami dan diamalkan pada tahap yang terbaik tanpa menguasai bahasa Arab.
Disebabkan kerana itulah para ilmuwan Islam meninggalkan pelbagai karya yang berkaitan dengan bahasa Arab agar generasi muslim yang berikutnya mampu untuk menguasai bahasa ini, dan seterusnya menghayati agama Islam pada tahap yang terbaik. Maka, ilmuwan-ilmuwan seumpama al-Farahidi, Ibn Faris, Ibn Manzur, Sibawayh, Ibn Jinni, Ibn Malik, dan lain-lain lagi meninggalkan kepada kita sejumlah karya yang membicarakan tentang ilmu-ilmu yang berkaitan dengan bahasa Arab, sama ada dari segi makna kalimah-kalimah, mahupun tatabahasa, dan sebagainya. Malah, jika diperhatikan kepada tradisi pendidikan dalam sejarah Islam, bahasa Arab merupakan subjek yang menjadi keutamaan dalam kurikulum institusi pendidikan itu sendiri. Ia seperti yang dilakukan oleh Jami‘ al-Qarawiyyin dan Madrasah Nizamiyyah yang masing-masing merupakan universiti yang pertama dan universiti bersistematik yang pertama dalam sejarah Islam.
Oleh itu, marilah bersama-sama kita berusaha untuk menguasai bahasa Arab. Letakkanlah keutamaan untuk memahami kalimah-kalimah Arab terlebih dahulu sebelum dari kemahiran bertutur, menulis, dan sebagainya. Apa yang penting, kuasailah bahasa Arab yang berasaskan makna-maknanya yang asli dan Islami kerana wujudnya sebahagian dari kalimah-kalimah Arab pada ketika ini yang sudah dikaburkan maknanya yang asli atau dialihkan maknanya yang Islami. Dengan yang demikian, bergurulah bersama para ilmuwan atau sarjana dan rujuklah buku-buku yang boleh membantu untuk menguasai bahasa Arab yang masih kekal padanya makna-makna yang asli dan Islami itu.
Yakinilah bahawa bahasa Arab akan mengubah pandangan hidup kita agar seiring dengan pandangan hidup Islam, malah menjadi pandangan yang kukuh dan tinggi. ‘Umar al-Khattab r.a pernah berkata: “Belajarlah bahasa Arab, kerana ia sebahagian dari agama kalian (yakni Islam).” “Belajarlah bahasa Arab, kerana ia mengukuhkan akal, dan meningkatkan kehormatan.”
Bahasa Arab bukan hanya sekadar untuk melengkapkan diri kita dengan kemampuan berbahasa, sebaliknya apa yang lebih penting adalah untuk mendekatkan diri kita dengan agama, lalu menjadikan kita sebagai umat Islam yang berkualiti, iaitu umat yang menghayati agamanya dengan penghayatan yang betul dan benar.
Firman Allah SWT:
((وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَذَا الْقُرْآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ. قُرآنًا عَرَبِيًّا غَيْرَ ذِي عِوَجٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ))
Yang bermaksud: ((Sesungguhnya Kami bentangkan kepada manusia segala perumpamaan melalui al-Qur’an agar mereka beroleh peringatan. Bahawa al-Qur’an itu dijadikan dalam bahasa Arab yang tiada cacat celanya agar mereka beroleh ketakwaan)). Surah al-Zumar, ayat 27 dan 28.
بارك الله لي ولكم بالقرآن العظيم، ونفعني وإياكم بما فيه من الآيات والذكر الحكيم، وتقبل مني ومنكم تلاوته، إنه هو السميع العليم. أستغفر الله العظيم لي ولكم، ولسائر المسلمين والمسلمات، والمؤمنين والمؤمنات، الأحياء منهم والأموات، فاستغفروه، إنه هو الغفور الرحيم.
Khutbah Kedua
الحمد لله وكفى، والصلاة والسلام على رسوله المصطفى، وعلى آله وأصحابه ومن اتبع الهدى،
أما بعد، فيا عباد الله، اتقوا الله، أوصيكم وإياي بتقوى الله، فقد فاز المتقون.
أيها الإخوة الكرام،
دعوني ألخص لكم بالعربية ما قد تحدثت عنه في هذه الخطبة، وهو عن اللغة العربية وأهميتها ومكانتها في الإسلام. فقد بينت أن اللغة العربية هي لغة القرآن الكريم والحديث النبوي، ولها دلالات كبيرة وعميقة. ثم بينت أهميتها وذلك بارتباطها الوثيق بالإسلام، فلا سبيل لفهم الإسلام إلا عن طريق هذه اللغة الموقرة. فتكون لغة لها مكانة تقصر عن وصفها العبارات، وقدسية انفردت بها عن سائر اللغات. ثم اختتمت بالدعوة إلى تعلم اللغة العربية مستوجبا تلك الأهمية والمكانة، كما بصر بهما عمر بن الخطاب رضي الله عنه بقوله: "تعلموا العربية، فإنها من دينكم." "تعلموا العربية، فإنها تثبت العقول، وتزيد المروءة."Top of Form
Brothers in Islam,
Allow me to proffer a summary in English about our sermon today. The sermon was discussing on importance of Arabic language and its position in Islam. Arabic language is the language of al-Qur’an and prophetic tradition, and it has a very extensive and deep meaning. The sermon also clarifies the importance of the language which is based on its close relationship with Islam, it is because there is no other way to understand Islam without learning the language. The sermon also explains the position of the language, as a very special language to muslims in compare with other languages. The sermon ends with call towards mastering Arabic language, such was suggested by ‘Umar al-Khattab r.a when he expressed: “Learn Arabic, as it is a part of your religion (Islam).” “Learn Arabic, as it is strengthening intellect, and increasing honour.”